PETALING JAYA – Penampilan terkini vokalis popular, Mamat yang kelihatan lebih cengkung dan kurus undang perhatian ramai di media sosial baru-baru ini.
Melalui satu hantaran di TikTok milik @warungsiputsedut, pemilik sebenar nama Mohd. Ali Kamarudin, 45 santai menyampaikan lagu hitnya ‘UntukMu Ibu’ atas permintaan peminatnya yang ditemui di sebuah kedai makan.
Namun begitu, rata-rata orang ramai di ruangan komen terkejut dengan perubahan fizikalnya yang semakin kurus selain mata yang ‘berkilat’.
“Laa, Mamat Exist ke? Ingatkan siapa tadi. Lain sangat mukanya,” kata Beta Musyifa.
“Mamat ke, suara macam tak sama je,” tanya Murni.
“Semua orang ada buat salah, kita bukan malaikat. Terima kasih Mamat Exist sebab lagu inilah yang buatkan aku selalu teringat akan arwah ibuku,” komen Arzlee.
Sementara itu, ada juga peminat-peminat yang menitipkan doa buat pelantun lagu Rahsia Pohon Cemara itu.
“Lamanya tak tengok Mamat, minat sangat dengan lagu ini. Semoga Allah permudahkan segala urusan Mamat. Amin,” doa Mariana.
“Semoga mamat kembali pulih seperti sedia kala, amin,” kata Khairul.
Setakat ini hantaran tersebut meraih 16,400 tanda suka, 2882 perkongsian dan 833,200 tontonan. – KOSMO! ONLINE