SHAH ALAM – Bunyi dentuman seakan bom diikuti kepulan asap hitam tebal antara situasi cemas dirasai penduduk selepas sebuah pesawat ringan terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, di sini.
Penduduk, Nur Alia Nordin, 28, berkata, dia melihat ada kepulan asap hitam tebal diikuti bunyi satu dentuman kuat pada pukul 3.50 petang.
Dia yang menetap di Kubu Gajah, kira-kra tiga kilometer dari lokasi kejadian memberitahu, bunyi tersebut sangat kuat diikuti dengan sedikit gegaran.
“Tiga minit selepas dentuman itu saya dan suami bergegas ke lokasi tersebut. Saya nampak api marak dan penunggang motosikal pula rentung.
“Rasa hendak menangis tengok orang (penunggang motosikal) terbakar di depan mata, ” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi nahas hari ini.
Sementara itu, saksi, Zainuddin Hashim, 53, berkata, anaknya yang juga sempat melihat pesawat tersebut berlegar-legar di ruang udara sebelum terhempas di lokasi kejadian.
Menurutnya, pesawat tersebut dipercayai mengalami kebakaran enjin dan juruterbangnya terpaksa membuat pendaratan cemas di lokasi berkenaan.
“Semasa kejadian saya berada di pejabat di Denai Alam. Saya dimaklumkan anak saya tentang kejadian itu dan terus bergegas ke sini. Saya nampak api marak ketika itu.
“Anak saya memaklumkan pesawat yang terhempas itu sedang cuba mendarat. Letupan daripada terhempas itu menyebabkan seorang penunggang motosikal terkena tempias api berkenaan,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah pesawat kecil terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16. Setakat ini, pihak berkuasa sedang melakukan kerja menyelamat mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.-KOSMO! ONLINE.