PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Menerusi hantaran Istana Negara di Facebook, Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong turut mengucapkan takziah kepada sembilan lagi mangsa lain yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Elmina Central Park, Seksyen U16 di sini petang tadi.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian mengejut Allahyarham Datuk Seri Johari Harun serta sembilan mangsa yang lain
“Kedua Seri Paduka Baginda juga berharap agar seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini,” tulisnya.
Selain Allahyarham Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, sembilan lagi mangsa dilaporkan terkorban dalam nahas yang berlaku kira-kira pukul 2.40 petang tadi.
Pesawat tersebut sepatutnya dijadualkan mendarat pukul 2.40 petang bagaimanapun dipercayai melencong sebelum hilang kawalan dan terhempas.
Dalam hantaran yang sama, Seri Paduka Baginda berdua juga mendoakan agar roh-roh kesemua mangsa dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
Ujarnya, sumbangan Allahyarham Johari kepada negeri Pahang khususnya dalam memperjuangkan masyarakat desa dan luar bandar amat lah dihargai.
“Seri Paduka Baginda berdua turut amat berdukacita di atas Pemergian Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang merupakan seorang rakan yang akrab dengan Baginda dan keluarga Baginda.
“Pemergian Allahyarham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai di Parlimen Bentong adalah satu kehilangan besar kepada negeri Pahang dan juga kepada Seri Paduka Baginda berdua,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE