PARIS, Perancis – Seorang lelaki ditangkap di Paris hari ini selepas terjun daripada Menara Eiffel dengan menggunakan payung terjun, kata polis dan pengendali monumen tersebut.
Lelaki itu merupakan seorang pendaki berpengalaman. Dia memasuki perimeter Menara Eiffel sejurus selepas pukul 5 pagi (waktu tempatan), jauh sebelum waktu pembukaan rasminya.
Dia segera dikesan oleh pengawal-pengawal, demikian menurut pengendali Eiffel, Sete tetapi berjaya sampai ke puncak sebelum sesiapa dapat menghalangnya, sambil membawa payung terjun dalam beg galas belakang.
“Sebaik sahaja hampir sampai ke puncak struktur setinggi 330 meter itu, dia terjun,” kata Sete.
Polis berkata, lelaki itu mendarat di sebuah stadium berhampiran dan ditangkap kerana membahayakan nyawa orang lain.
“Perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini menyebabkan mereka yang bekerja di Menara Eiffel dan bawahnya berada dalam bahaya,” tambah Sete.
Menara Eiffel yang berada di ibu kota Perancis itu menarik 5.9 juta pelawat pada tahun lalu. – AFP