fbpx

Koperal didenda RM3,800 terima wang dorongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang anggota polis berpangkat koperal dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,800 selepas mengaku bersalah menerima sejumlah wang dorongan untuk tidak menahan seorang individu memiliki kenderaan klon dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Abdul Wahab Musa, 58, selepas tertuduh menukar pengakuan terhadap tiga pertuduhan terhadapnya.

Tertuduh mengaku salah atas pertuduhan pilihan ketiga dan mengaku melakukan kesalahan bagi pertuduhan pilihan pertama dan kedua yang hukumannya diambil kira (TIC) bagi sabitan pertuduhan pilihan ketiga.

Berdasarkan kertas pertuduhan pilihan ketiga, pada 5 September 2021 bertempat di rumah rakit Kampung Bukit Serdang, Kuala Bera di Bera, tertuduh yang bertugas di Bahagian Operasi dan Pencegahan Jenayah Balai Polis Kuala Bera, Bera, telah menerima wang tunai berjumlah RM500 daripada seorang individu.

Bagi pertuduhan pilihan pertama pula, pada 19 Mei 2021, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM1,000 daripada individu yang sama dan pertuduhan pilihan kedua iaitu menerima RM500 juga daripada individu sama pada 2 Jun tahun lalu.

Dalam ketiga-tiga pertuduhan, bapa kepada tujuh anak itu didakwa menerima wang tunai berkenaan sebagai dorongan untuk tidak menahan anak lelaki individu terbabit yang memiliki kenderaan Mitsubishi Lancer klon yang merupakan satu kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam rayuan, Abdul Wahab yang diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar, merayu agar tertuduh dikenakan denda tidak melebihi gaji yang diterimanya setiap bulan iaitu sebanyak RM3,800 mengambil kira faktor pengakuan tertuduh terhadap pertuduhan dihadapinya telah menjimatkan masa mahkamah dari perbincangan yang panjang.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif bagaimanapun, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal mengambil kira tindakan yang dilakukan mencalarkan imej serta menjejaskan integriti perkhidmatan awam.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,800 dan 12 bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan pilihan ketiga.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI