PETALING JAYA – Pimpinan tertinggi UMNO digesa supaya mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) khas dengan segera bagi membincangkan hala tuju parti itu yang dikatakan kritikal ketika ini.
Ahli MKT UMNO, Isham Jalil berkata, sudah hampir seminggu sejak parti tersebut tumpas teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), namun sehingga kini semua Ahli MKT belum dipanggil untuk bersidang.
Menurut Isham, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) khas juga perlu diadakan melibatkan semua akar umbi parti itu yang ingin menyertainya.
“Ini kerana keputusan yang perlu kita buat adalah suatu keputusan yang amat penting dan memberi kesan kepada semua ahli dan akar umbi UMNO.
“Kita berada dalam keadaan yang luar biasa. Keadaan luar biasa memerlukan tindakan yang luar biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akar umbi UMNO akan menjadi semakin resah jika pimpinan parti terus mendiamkan diri dan tidak memberikan hala tuju yang jelas semasa krisis.
“Berada dalam sindrom penafian dan melengah-lengahkan masa supaya isu dilupa bukanlah pilihan yang baik untuk kita di kala ini,” ujarnya.
UMNO pada PRN enam negeri baru-baru ini hanya berjaya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi yang ditandingi parti itu.
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Pas, Bersatu dan Gerakan menang 146 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 80 kerusi. – KOSMO! ONLINE