RIYADH – Gergasi Liga Profesional Arab Saudi, Al-Nassr dilaporkan serius mahu mendapatkan penjaga gol Liverpool, Alisson yang merupakan jawapan bagi memastikan gawang mereka kebal tanpa bolos.
Nama penjaga gol berusia 30 tahun itu mula dikaitkan selepas Al-Nassr tewas 1-2 kepada Al-Ettifaq yang dikendalikan oleh legenda The Reds, Steven Gerrard di Damman baru-baru ini.
Pengendali Al-Nassr, Luis Castro merasakan Alisson sebagai pengganti ideal kepada penjaga golnya, Nawaf Al-Aqidi yang menampilkan prestasi kurang memuaskan dalam kekalahan itu.
Difahamkan, Alisson ‘tertarik’ dengan kemungkinan berhijrah ke Arab Saudi menyertai tiga bekas rakan sepasukannya iaitu Sadio Mane yang beraksi dengan Al-Nassr, Jordan Henderson (Al-Ettifaq) dan Fabinho (Al-Ittihad).
Antara faktor utama adalah tarikan kemewahan di Arab Saudi seperti gaji tinggi selain peluang mendapat ‘hadiah’ seperti Fabinho yang menerima seutas jam tangan Rolek daripada seorang peminat Al-Ittihad.
Bagaimanapun, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp pastinya tidak membenarkan perpindahan itu berlaku memandangkan beliau tiada penjaga gol berkredibiliti untuk menggantikan tempat Alisson.
Buat masa ini, The Reds hanya ada dua penjaga gol kurang ternama iaitu Adrian dan Caoimhin Kelleher untuk diharapkan seandainya bintang antarabangsa Brazil itu memilih berhijrah ke Arab Saudi.
Alisson sebelum ini menyertai Liverpool daripada AS Roma pada 2018 dengan rekod penjaga gol termahal dunia bernilai £66.8 juta (RM393.62 juta) sebelum Chelsea memecahkannya selepas membeli Kepa Arrizabalaga. – AGENSI