TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berharap 604 pelajar baharu diploma ambilan Ogos 2023 mampu sama-sama membantu melonjakkan nama UPSI sebagai universiti pendidikan terunggul di Malaysia.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, mengalu-alukan kehadiran semua pelajar itu yang akan menjadi keluarga baharu UPSI.
“Saya berharap semua pelajar baharu diploma akan sama-sama melonjakkan nama UPSI sebagai universiti pendidikan nombor satu di negara ini.
“Justeru, saya berharap pelajar akan belajar dengan bersungguh-sungguh dan tidak mensia-siakan wang ringgit dan pengorbanan oleh ibu ayah dari pelbagai latar belakang,” katanya hari ini.
Semua pelajar tersebut mendaftar di Dewan Kolej Ungku Omar, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, di sini, pada Ahad lalu.-KOSMO! ONLINE