PETALING JAYA – Pengarah Aziz M. Osman menafikan dakwaan dirinya sengaja menyembunyikan perceraiannya dengan bekas isteri, Puteri Lily Lokman pada awal bulan lalu.
Mengambil pendekatan matang, Aziz menegaskan dia enggan terlalu mencanang kisah peribadi secara terperinci memandangkan usianya kian meningkat.
“Saya bukan sembunyikan diri, cuma ini hal peribadi. Tidak perlu orang tahu proses perceraian atau apa yang berlaku antara saya dan bekas isteri.
“Cukuplah, asalkan saya dan anak-anak masih mempunyai ikatan kekeluargaan yang kuat.
“Tiada guna (kongsikan) dalam usia sekarang, apatah lagi saya ada ramai anak,” katanya usai majlis memorandum perjanjian Meatech Creative Academy dan Metrowealth International Group (MIG).
Bagi pengarah filem XX Ray itu, kehidupan harus diteruskan dan dia memgambil langkah tidak mengambil pusing perkara tidak perlu tanpa perlu hebahkan kepada umum.
“Kita perlu move on. Saya sangat positif dengan kehidupan kini dan ambil yang terbaik selain pekakkan telinga.
“Perkara membabitkan hal dalaman biarlah kita simpan sendiri. Tidak perlu kecoh, keluarga sahaja yang tahu.
“Tidak penting untuk maklumkan kepada semua dengan apa yang sudah berlaku,” jelasnya lagi.
Bagaimanapun, pengarah berusia 60 tahun itu masih mengekalkan hubungan baik dengan Puteri Lily demi kesejahteraan.
“Lily masih uruskan saya sampai sekarang. Kami akan menyiapkan cerita baharu.
“Dia adalah penerbit dan saya mengarahkan serta tulis skrip. Hubungan kami masih baik,” tuturnya.
Minggu lalu, bekas isteri Aziz itu mendedahkan hubungan rumah tangga mereka akhirnya terlerai selepas 13 tahun perkahwinan.
Pemilik nama lengkap Abdul Aziz Othman @ Yusof mendirikan rumah tangga bersama Lily pada 6 Jun 2010 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua anak.
Merupakan perkahwinan ketiga, Aziz yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Nor Aliah Lee iaitu seorang pelakon dan pengarah. Rumah tangga mereka dikurniakan enam orang cahaya mata.
Selepas berpisah dengan Aliah, pengarah filem Senario The Movie itu kemudian mendirikan rumah tangga dengan Nor Radhiah pada 16 Ogos 2008.
Namun, perkahwinan mereka dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu kerana wanita itu masih dalam tempoh idah ketika majlis pernikahan. – KOSMO! ONLINE