PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mengakui, sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Kelantan FC memberi kelebihan buat pasukannya.
Sebagai rekod, TFC berjaya meraih kemenangan bergaya 8-0 ke atas The Red Warriors pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu kelmarin.
Steinbruckner berkata, setiap pasukan di Liga Malaysia pasti mahu membariskan pemain-pemain import yang dijangka akan meningkatkan kualiti pasukan masing-masing.
“Saya meneliti kesebelasan utama mereka dan ia lebih kurang sama ketika Kelantan menentang Negeri Sembilan FC baru-baru ini. Mereka yakin dengan kesebelasan utama itu berikutan meraih kemenangan pada perlawanan sebelum ini.
“Bagaimanapun mereka hanya menurunkan dua pemain import, iaitu Loenardo Rolon dan Natanael Siringo Ringo. Situasi itu memberi sedikit kelebihan buat kami,” katanya selepas tamat perlawanan.
Menurut Jurulatih dari Croatia itu, Kelantan sebenarnya sebuah pasukan yang bagus, tetapi barisan pemainnya dilihat terlalu muda dan belum cukup bersedia untuk berdepan saingan kompetatif arena bola sepak profesional.
“Barisan pemain mereka terlalu muda, malah fizikal mereka umpama keanak-anakan. Ia bagus untuk masa hadapan Kelantan, tetapi perlu diakui mereka belum bersedia untuk saingan kompetetif seperti di pentas Liga Super.
“Saya tidak dapat membayangkan ketakutan ketua jurulatih mereka, Angel Alfredo Vega apabila dibolosi lapan gol. Pastinya beliau berasa tidak selesa kerana situasi sebegitu tidak bagus untuk pasukan,” katanya.
Mengulas perlawanan malam tadi, Steinbruckner menganggap ia kemenangan terbesar sepanjang musim bagi Terengganu dan jelas mereka memanfaatkan situasi bola mati apabila tiga daripada lapan gol hadir melalui situasi tersebut.
“Sebenarnya saya agak risau apabila padang digenangi air setengah jam sebelum perlawanan tetapi tetap gembira dengan kemenangan ini tambahan pula beberapa pemain muda beraksi baik dan turut menjaringkan gol.
“Tiada latihan khas untuk set-piece kerana sudah menjadi rutin latihan harian kami untuk memberi tumpuan kepada perkara itu sehari sebelum perlawanan. Kami manfaatkannya pada perlawanan ini,” katanya.