fbpx

Remaja tertusuk buluh stabil selepas jalani pembedahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Mohammad Ammar stabil selepas menjalani pembedahan membuang batang buluh yang tertusuk di perutnya di HSIP, Kuala Krai pagi tadi.

GUA MUSANG – Seorang remaja lelaki yang perutnya tertusuk buluh sepanjang dua meter dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan membuang batang buluh tersebut di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai dekat sini hari ini.

Mohammad Ammar Hazriq Zuhan, 13, yang merupakan pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di sini selamat menjalani pembedahan kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Bapa saudara mangsa, Mohd. Saiful Azman Jaafar, 29, berkata, Mohammad Ammar kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan selama lebih dua jam.

Katanya, anak saudaranya itu memerlukan pemeriksaan secara berterusan kerana bimbang masih ada serpihan buluh pada perutnya.

“Mohammad Ammar masih tidur semasa saya melawatnya pagi tadi. Mungkin kesan ubat bius masih belum hilang.

“Pembedahan membuang buluh itu selesai kira-kira pukul 10.15 pagi tadi. Mengikut kata doktor, Mohammad Ammar perlu melakukan pemeriksaan secara berkala kerana serpihan buluh dikhuatiri masih ada di dalam perutnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohd. Saiful Azman memberitahu, dia mengetahui kejadian yang menimpa anak saudaranya itu kira-kira pukul 9.50 malam tadi.

Menurutnya, ketika itu, penduduk kampung datang ke rumah memaklumkan kejadian tersebut sebelum dia bergegas ke lokasi kejadian dan membawa anak saudaranya ke Hospital Gua Musang.

“Semasa dalam perjalanan ke hospital, Mohammad Ammar hanya mengadu sakit apabila batang buluh tertusuk pada perutnya. Anak saudara saya itu tinggal bersama datuk dan neneknya selepas kematian ibu ketika dia berusia 10 bulan,” katanya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang remaja terpaksa menahan kesakitan selepas perutnya tembus akibat tertusuk buluh yang berada di dalam sebuah trak pikap dalam kemalangan di Kilometer 29, Jalan Gua Musang-Jeli di Jambatan Pulau Setelu di sini, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, Mohammad Ammar yang sedang dalam perjalanan untuk memancing mengalami kecederaan selepas buluh berukuran dua meter menembusi bahagian perutnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI