fbpx

Reezal kawan sekolah, orang sekeliling yang bawa spekulasi – Rashidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Reezal Merican (kiri) dan Rashidi.

GEORGE TOWN – Wakil Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan negeri Pulau Pinang, Rashidi Zinol menjelaskan hubungannya dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berlangsung dalam keadaan baik walaupun timbul pelbagai spekulasi pada masa ini.

Rashidi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh berkata, spekulasi yang timbul berkaitan hubungan dengan Reezal adalah tidak berasas sama sekali kerana mereka bersahabat baik sejak dari zaman persekolahan lagi.

“Saya dan Reezal kawan dari sekolah lagi, sebenarnya spekulasi hubungan kami ini orang sekeliling yang bawa. Tadi dalam dewan pun kami sapa menyapa, malah kami saling sokong-menyokong antara satu sama lain,” katanya di Dewan Sri Pinang di sini, hari ini.

Terdahulu, Rashidi mengangkat sumpah jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar.

Susulan pelantikan Rashidi dalam kerajaan negeri timbul pelbagai desas-desus mengenai hubungannya dengan Reezal yang turut melakar kemenangan sebagai wakil rakyat BN di DUN Bertam.

Dalam pada itu, Rashidi berkata, pelantikannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar dapat membina kekuatan kerajaan perpaduan di Pulau Pinang.

“Kita boleh nampak keikhlasan gabungan perpaduan PH-BN untuk membentuk masyarakat madani di negeri ini. Keikhlasan ini dapat dilihat menerusi pelantikan wakil BN dan ia dapat menarik sokongan pengundi Melayu kepada kerajaan perpaduan PH-BN di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, portfolio yang dipegang dalam kerajaan negeri Pulau Pinang itu juga selari dengan portfolio Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memegang jawatan sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Disebabkan itu, lebih mudah untuk saya memohon peruntukan untuk kemajuan masyarakat di desa daripada Ahmad Zahid kerana portfolio kami selari,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI