fbpx

K2

Perkukuh ekosistem sektor agromakanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sektor pertanian perlu diberi perhatian bagi mendepani isu inflasi makanan ketika ini. – Gambar hiasan

Pengukuhan ekosistem agromakanan wajar diangkat sebagai dasar pemisah bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan untuk mendepani isu inflasi makanan.

Laporan Bank Dunia baru-baru ini menunjukkan situasi inflasi makanan dunia masih berada pada tahap membimbangkan.

Di Malaysia, tahap inflasi makanan kelihatan semakin mereda, namun masih berada di atas paras lima peratus sehingga Mei lalu.

Berbanding jiran serantau, Indonesia dan Thailand, mereka telah berjaya memperkukuh kawalan kepada isu inflasi makanan dengan menyaksikan penurunan tahap inflasi kepada paras 1.7 peratus dan 3.4 peratus pada Jun lalu.

Dua faktor luar jangkauan utama dilaporkan mempengaruhi keberkesanan strategi kawalan harga makanan adalah perkembangan global dan perubahan cuaca.

Perkembangan global telah memberi impak besar kepada pasaran input pertanian.

Sebagai contoh, sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap Russia telah membawa kepada peningkatan harga baja. Ini disebabkan kedudukan Russia sebagai pengeksport baja utama dunia.

Terkini, Kanada yang merupakan pengeksport baja kedua terbesar dunia telah berhadapan dengan protes pekerja pelabuhan bagi menuntut kenaikan gaji.

Keadaan ini menyebabkan syarikat pengeluar baja utama Kanada terpaksa mengurangkan output untuk pasaran global.

Laporan bersama oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menganggarkan, satu peratus kenaikan harga baja akan mendorong kepada 0.2 peratus peningkatan harga komoditi makanan.

Keadaan cuaca yang tidak menentu di beberapa negara pengeksport utama produk agromakanan juga mendatangkan keresahan.

Di Thailand, pengeluaran produk agromakanan dijangka mengalami kerugian antara 40 bilion baht (RM5.23 bilion) sehingga 64 bilion baht (RM8.37 bilion) disebabkan El Nino.

PENGELUARAN beras dunia dijangka merosot ekoran fenomena El Nino. – Gambar hiasan

Bagi komoditi beras sahaja, impak dijangka berada antara 7.5 bilion baht (RM980 juta) sehingga 13.3 bilion baht (RM1.74 bilion).

Situasi tersebut bakal memberi impak besar kepada Malaysia yang bergantung kepada import input pertanian dan produk agromakanan.

Mendepani cabaran ini, pengukuhan ekosistem sektor agromakanan tempatan dilihat sebagai langkah wajar dengan menumpukan pemantapan industri sokongan pertanian.

Ini melibatkan industri yang membekalkan input pertanian seperti baja, racun dan makanan ternakan.

Sehubungan itu, pemberian insentif pengeluaran bersasar perlu dipertingkat, terutamanya kepada pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menghasilkan input pertanian.

Insentif berbentuk kewangan boleh diberikan kepada perusahaan yang telah lama bertapak dan berdaya maju.

Manakala, insentif daripada aspek khidmat nasihat pula diberikan kepada pengusaha PMKS yang berhasrat untuk menceburi bidang berkenaan.

Dalam jangka panjang, langkah ini akan membantu mengurangkan kos pengeluaran dan harga input pertanian keluaran tempatan.

Ini secara tidak langsung membantu kerajaan mengurangkan bebanan pemberian subsidi dan insentif kepada golongan petani.

Lebih penting, kerajaan dapat mengurangkan peruntukan bantuan tunai kepada rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga makanan.

Daripada sudut ekonomi, situasi ini akan mengalihkan perbelanjaan kerajaan kepada bidang yang lebih produktif.

Selari dengan usaha ini, kerjasama aktif antara pihak kerajaan negeri, industri dan akademia perlu dipergiat.

Di peringkat nasional, Dasar Agromakanan Negara 2.0 telah jelas menggariskan hala tuju sektor agromakanan.

Sebagai sokongan, pihak kerajaan negeri juga perlu mewujudkan dasar agromakanan masing-masing yang berpaksikan kekuatan negeri.

Di pihak industri, pandangan dan pengetahuan mereka dalam selok-belok rantaian nilai perlu dirangkumkan dalam dasar tersebut.

Dari aspek akademia, ahli akademik termasuklah daripada bidang teknikal dan vokasional perlu berusaha menterjemah hasil kajian mereka sebagai input bagi menjamin kebolehlaksanaan dan keberkesanan dasar berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI