PETALING JAYA – Seorang lelaki yang didakwa pernah menipu pemandu e-hailing bertindak melompat keluar dari kenderaan apabila dia dibawa ke balai polis.
Menurut perkongsian pengguna Facebook, Ahmad Azahari berkata, kejadian itu berlaku semasa dia menjemput penumpang itu di hadapan sebuah bank di Sungai Buloh.
Katanya, dia mengecam lelaki itu kerana pernah menjadi mangsa penipuannya yang tidak membayar tambang selepas menggunakan perkhidmatan e-hailing tersebut.
“Sebelum ini pernah dapat penumpang ini, bila sampai di lokasi dia terus cabut lari dan tidak bayar. Laporkan pada Grab dan sudah dapat ‘refund’ semula.
“Hari ini dia pesan guna aplikasi lain, dari awal aku dah syak penumpang sama yang tipu aku. Awalnya dia cakap nak pinjam RM100 dan bila sampai destinasi kakaknya akan bayar, aku iyakan saja,” tulisnya di ruang kapsyen.
Menurut Ahmad Azahari, sebaik sahaja mengecam lelaki itu, dia juga menurunkan tempat duduk bahagian penumpang di hadapan supaya kamera papan pemuka dapat merakam wajah penumpang itu.
“Aku nak bawa dia ke balai polis. Baru saja nak masuk ke dalam balai polis, dia dah terjun. Niat aku cuma nak tangkap penipu ini sebab dulu dah kena dengan dia.
“Jadi, kepada ‘driver’ semua tolong hati-hati dengan penumpang ini,” katanya.
Sehingga kini, video tersebut telah ditonton lebih 10,000 kali. – KOSMO! ONLINE