YAN – Hujan lebat berterusan sejak petang kelmarin di daerah Yan menyebabkan 100 keluarga di beberapa buah kampung sekitar kaki Gunung Jerai mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang fenomena kepala air dua tahun lalu berulang.
Kerisauan penduduk Kampung Perigi, Kampung Titi Hayun dan Kampung Batu Hampar itu berpunca daripada beberapa batang anak sungai di kawasan kediaman mereka dinaiki air melebihi paras biasa sejak hujan lebat melanda daerah itu pukul 3 petang kelmarin.
Seorang penduduk Kampung Perigi, Hamizul Ismail,74, berkata, dia berasa tidak sedap hati selepas Sungai Perigi di hadapan rumahnya dipenuhi air hingga melimpah ke pekarangan kediamannya.
“Ketika itu saya baru selesai solat maghrib, mendapati paras air sungai naik mendadak selepas hujan lebat sejam sebelumnya.
“Saya mulai bimbang apabila limpahan air dari sungai itu mula memenuhi pekarangan rumah, menyebabkan saya mengarahkan dua anak pindahkan barangan ke tempat selamat,” katanya.
Rakannya, Rusli Saad, 52, berkata, dia turut membuat persiapan dengan menyimpan semua dokumen penting dan barang berharga selepas hujan lebat berterusan lebih sejam.
“Biarpun hujan lebat itu beransur reda, namun sebagai langkah berjaga-jaga, saya memunggah perabot dan barangan elektrik ke tempat yang lebih selamat.
“Keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan masih turun sehingga hari ini (semalam) menyebabkan saya tidak berani meninggalkan rumah dan keluarga bersendirian,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Abdul Hafiz Nayan,66, berkata, dia dan keluarga selesai membuat persiapan apabila semua barangan di rumahnya dialihkan ke tempat lebih tinggi.
“Kepala air yang berlaku pada Ogos dua tahun lalu bermula daripada keadaan cuaca tak menentu seperti sekarang.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, anggotanya diletakkan dalam keadaan siap-siaga di beberapa kawasan berisiko di daerah ini berikutan hujan masih berterusan di daerah itu dari petang kelmarin sehingga semalam.