KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan yang ke-19, Datuk Mohd. Nasuruddin Daud akan meneruskan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang menjadi fokus utama semasa pentadbiran kerajaan negeri di bawah Tok Guru atau Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata, dasar berkenaan telah terbukti meletakkan Islam sebagai asas pentadbiran, kemakmuran negeri dan kebajikan rakyat di Kelantan.
Menurutnya, keutamaan beliau adalah untuk menjadi Menteri Besar kepada seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira latar belakang kaum.
“Keadilan Islam terserlah dan kukuh di bumi Serambi Mekah kepada seluruh rakyat Kelantan. Ini kita akan terus pertahankan.
“Saya yakin barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilantik adalah saf yang seimbang dan terbaik dalam pelbagai bidang khususnya ulama, teknokrat dan profesional,” katanya pada sidang akhbar selepas melapor diri hari pertama sebagai Menteri Besar di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Nasuruddin memberitahu, perkara paling penting adalah meneruskan konsep musyawarah atau rundingan yang menjadi asas kekuatan kerajaan negeri di bawah pentadiran Pas selama ini.
Katanya, beliau juga yakin hubungan kerajaan negeri dan persekutuan akan kekal kukuh dengan semangat federalisme.
“Kerajaan negeri sentiasa mengambil pendekatan matang dan sejahtera dalam hubungan kerajaan kepada kerajaan (G2G) demi kesejahteraan rakyat.
“Saya mengharapkan sokongan dan dukungan semua pihak termasuk ADUN, pegawai tadbir negeri, seluruh penjawat awam, alim ulama, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Kelantan untuk bersama-sama mengukuhkan legasi MBI,” katanya.
Mengulas mengenai lantikan Exco, beliau berkata, kemungkinan akan ada sedikit perubahan daripada segi portfolio Exco berbanding penggal sebelum ini, namun ia belum dimuktamadkan.
“Pelantikan Exco baru dibuat semalam, maka kita masih menyusun portfolio masing-masing dan ia akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE