fbpx

Mayat dalam guni: Tiga beranak didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga tertuduh menutup muka ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh FARIZ ROSADIO/KOSMO!

PETALING JAYA – Tiga beranak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warganegara India dalam kejadian mayat ditemui disumbat dalam guni.

Bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh iaitu ahli perniagaan barang lusuh Datuk V. Nanta Kumar, 51, dan dua anaknya iaitu Miren Ram, 24 serta Krithik Ram, 22 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas telah menyebabkan kematian A.Vinayagamoorthy, 41, dengan niat hendak menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian yang mana kesalahan homisid salah yang terjumlah kepada kesalahan membunuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah tapak besi buruk, di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini pukul 1.30 tengahari pada 4 Ogos lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika perbuatan menyebabkan kematian itu dilakukan dengan niat atau menyebabkan yang mungkin menyebabkan kematian.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana pertuduhan itu tergolong dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon mahkamah memberikan ikat jamin.

“Meskipun pertuduhan ini tidak boleh dijamin namun mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan. Sekiranya terdapat syarat tambahan, ketiga-tiga tertuduh bersedia mematuhinya,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, hakim membenarkan ketiga-tiga tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah.

“Ketiga-tiga tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan sehingga kes selesai,” kata hakim itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang lelaki warga India panik selepas menemui mayat seorang lelaki diletakkan dalam guni di tapak besi buruk Taman Bukit Serdang, di sini.

Mayat yang dijumpai disyaki dibunuh dan dimasukkan ke dalam sekarung guni plastik (beg jumbo) berwarna putih di tapak stor penyimpanan besi buruk berkenaan.

Ekoran kejadian itu, seramai 13 individu termasuk tiga wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang lelaki dibunuh berkenaan.

Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah berpunca dari masalah kewangan yang dikatakan diambil oleh mangsa yang bekerja sebagai kerani kewangan di syarikatnya.

Suspek yang menyedari kehilangan wang melibatkan jumlah puluhan ribu ringgit itu kemudiannya membawa si mati dan disimpan ditempat kejadian beberapa hari sebelum dibunuh.

Kesemua suspek berusia 20 hingga 58 tahun ditahan semalam di sekitar Lembah Klang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI