JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi seorang lelaki berjubah hitam dan berniqab memasuki tandas wanita untuk mengintai, lapor laman berita Suara.com semalam.
Seorang wanita pada awalnya mengadu kepada pengawal keselamatan dan beberapa lelaki lain bahawa individu yang mencurigakan telah mengekorinya masuk ke dalam tandas.
Ketika orang ramai berhadapan dengan individu tersebut di luar tandas, suspek menafikan bahawa dia seorang lelaki.
Dia turut menolak apabila orang ramai memintanya untuk menanggalkan tudung. Namun, selepas niqab dan tudung ditanggalkan secara paksa, ternyata dia adalah seorang lelaki.
Suspek kemudian diminta menyerahkan telefon bimbitnya untuk diperiksa.
Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Apabila kakak itu menangis dan berkata bahawa dia diperhatikan ketika menukar pakaian, saya berasa sakit hati mendengarnya,” komen seorang netizen. – Agensi