fbpx

Jangan tukar label beras putih tempatan kepada beras putih import – KPKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberikan peringatan kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit agar tidak melakukan penyelewengan ke atas penjualan beras dengan menukar label beras putih tempatan (BPT) kepada beras putih import (BPI).

KPKM dalam satu kenyataan berkata, tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak didapati membuat kesalahan memalsukan gred beras di bawah Seksyen 21 Akta Kawalselia Padi dan Beras (Akta 522).

“Bagi kesalahan individu, mereka boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM25,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM50,000,” katanya di sini tadi.

Terdahulu, KPKM menegaskan pihaknya memandang serius video tular berkaitan dakwaan penipuan oleh pemborong beras tempatan yang membungkus semula kampit beras tempatan menjadi bungkusan kampit beras import yang tidak dikawal harganya oleh kerajaan.

“Untuk makluman, penguatkuasaan undang-undang berkaitan padi dan beras dilaksanakan oleh Kawalselia Padi dan Beras (KPB) selain KPKM di bawah Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“KPKM melalui KPB telah berkolaborasi secara strategik bersama Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui OP JAMIN yang telah pun dilancarkan pada 7 Julai 2023.

“Sehingga 10 Ogos 2023, sebanyak 925 pemeriksaan telah dilaksanakan secara bersama-sama antara KPKM dan KPDN di seluruh negara bagi memastikan kestabilan bekalan BPT sentiasa terjamin,” jelasnya.

Katanya, KPKM akan turut melaksanakan Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang dilaksanakan mulai 16 Ogos 2023.

“OP BPT akan memberi fokus pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas kilang padi (komersial) dan pemborong beras. Ini bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI