MELAKA – Beberapa jalan utama ke Banda Hilir akan mula ditutup selama enam jam bermula pukul 6 petang sehingga 12 tengah malam mulai Sabtu ini bagi tempoh percubaan zon bebas kenderaan yang akan dilaksanakan di negeri ini tidak lama lagi.
Jalan terlibat adalah dari Jalan Istana, Jalan Mahkamah, Jalan Gereja – Lorong Gereja- Jalan Laksamana- sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob (sebahagian jalan untuk laluan kenderaan) – Jalan Merdeka (sebahagian jalan untuk laluan kenderaan ) – Jalan Parameswara.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, tempoh percubaan itu dilaksanakan di bawah program ‘Ride n Run’ yang diadakan pada setiap minggu bermula sabtu ini.
Ujarnya, jalan akan mula ditutup dari Bangunan Stadthuys sehingga Menara Taming Sari, manakala sebahagian jalan pula ditutup dari Menara Taming Sari sehingga Memorial Perisytiharan Kemerdekaan.
“Jadi Sabtu ini akan bermula penutupan jalan sementara waktu supaya kita hendak melihat bagaimana sambutan masyarakat dan pelancong terhadap usaha pelaksanaan zon bebas kenderaan nanti.
“Kita hanya tutup jalan ini selama enam jam bermula dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam sahaja, ini hanyalah tempoh percubaan dan tidak melibatkan sebarang perpindahan melibatkan para peniaga,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Program Kibar Jalur Gemilang di Dewan Taming Sari di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kemudahan pengangkutan termasuk kereta bugi yang mungkin disediakan di kawasan tumpuan pelancongan itu, Rais memberitahu perkara itu akan dipertimbangkan dan diumumkan MBMB.
Sementara itu, MBMB dalam satu kenyataan memaklumkan akan berlaku perubahan pada aliran trafik di sebahagian Jalan Temenggong iaitu bermula dari Persimpangan Jalan Bendahara hingga Persimpangan Lorong Bukit Cina, Banda Hilir.
Pengguna dari Jalan Bendahara boleh mengambil laluan alternatif susur ke kiri untuk ke bulatan Bukit Cina menghala ke Bangunan Tabung Haji atau susur kanan ke Jalan Bunga Raya. – KOSMO! ONLINE