PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebab atau alasan munasabah untuk meneliti semula semua kes yang telah dipertuduhkan di mahkamah.
Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam satu kenyataan berkata, setiap keputusan pendakwaan dibuat setelah meneliti dan menimbangkan dengan sepenuhnya semua keterangan yang ada dan dibentangkan oleh agensi-agensi penguatkuasa serta menurut undang-undang berkaitan.
“Seperti dinyatakan, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya melibatkan empat pertuduhan predikat di bawah seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
“Keputusan tersebut dibuat hanya berdasarkan ruang lingkup permohonan yang telah difailkan oleh pemohon.
“Rentetan itu, Notis Rayuan telah difailkan oleh pihak pendakwaan untuk mencabar keesahan keputusan tersebut, manakala tiga pertuduhan di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 masih kekal,” katanya hari ini.
Katanya, pihak juga tidak menerima sebarang campur tangan politik atau tekanan untuk memulakan apa-apa pendakwaan.
“Jabatan Peguam Negara sentiasa bertindak secara bebas dan profesional mengikut tatacara yang ditetapkan dalam memulakan pertuduhan terhadap mana-mana individu.
“Kami memandang serius kenyataan berkecenderungan menjejaskan kredibiliti dan menggesa semua pihak supaya berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang mencadangkan atau membayangkan bahawa integriti dan kebebasan jabatan ini telah dikompromi oleh campur tangan politik atau pengaruh yang tidak wajar,” tegasnya.
Ujarnya, Jabatan Peguam Negara juga bertindak secara bebas dan profesional pada setiap masa dalam menjalankan fungsi untuk menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE