NEW DELHI – Pasukan penyelamat meneruskan pencarian individu yang masih hilang dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di utara India, yang telah meragut sekurang-kurangnya 65 nyawa termasuk 11 dalam runtuhan sebuah kuil.
Hujan beberapa hari telah menghanyutkan kenderaan, merobohkan bangunan serta memusnahkan jambatan di negeri Himachal Pradesh dan Uttarakhand.
Banjir dan tanah runtuh adalah perkara biasa dan menyebabkan kemusnahan meluas semasa musim tengkujuh di India, namun pakar-pakar berkata, perubahan iklim telah meningkatkan kekerapan serta menjadikan banjir bertambah buruk.
Sekurang-kurangnya 52 orang terbunuh di Himachal Pradesh sejak Ahad lalu dengan beribu-ribu lagi terkandas selepas jalan-jalan ditutup selain jaringan komunikasi dan talian kuasa terputus.
“Kerajaan akan melakukan apa yang termampu untuk menyelamatkan penduduk yang terjejas,” kata Ketua Menteri Himachal Pradesh, Sukhvinder Singh Sukhu.
Gambar-gambar yang dirakam di kawasan terjejas di Himachal Pradesh menunjukkan mayat-mayat ditarik keluar dari bawah timbunan tanah.
Lebih 300 pelancong turut diselamatkan dalam banjir tersebut.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 11 orang maut selepas kejadian tanah runtuh merobohkan sebuah kuil di banda ibu negeri Himachal Pradesh, Shimla.
“Kerja-kerja menyelamat masih dilakukan dan sekurang-kurangnya 10 orang lagi dibimbangi terperangkap di bawah runtuhan,” kata Ketua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Aditya Negi. – AFP