PENGACARA dan pelakon sensasi, Rizky Billar menafikan namanya telah disenarai hitam oleh pihak stesen televisyen (TV) gara-gara isu keganasan rumah tangga yang dilaluinya.
Rizky berkata, dia sudah muncul sebagai tetamu dalam beberapa program televisyen bersama isterinya, Lesti Kejora.
“Ya, saya sudah sedia untuk kembali aktif dalam televisyen. Berita tentang saya disenarai hitam Komisi Penyiaran Indonesia (KPI) adalah tidak benar.
“Saya jelaskan di sini bahawa saya tidak pernah diboikot pihak televisyen,” ujarnya.
Menurut Rizky, pihak televisyen memilih untuk merehatkan dirinya buat sementara sahaja sehingga isu rumah tangga tersebut reda.
“Hanya ketika isu itu sahaja mereka tidak mahu saya muncul buat sementara. Tapi dua bulan selepas kes itu saya terima banyak tawaran untuk muncul semula dalam televisyen.
“Cuma saya sahaja belum sedia. Sekarang saya sudah berasa yakin dan mental juga sudah siap untuk kembali aktif,” ujarnya.
Untuk rekod, Rizky ditahan sebagai tertuduh dalam kes keganasan rumah tangga berdasarkan laporan yang dibuat isterinya, Lesti Kejora pada Oktober tahun lalu. Tidak lama kemudian, mereka memilih untuk kembali bersama.