KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin kerajaan akan menepati janji menaikkan gaji sektor awam menjelang pembentangan Bajet 2024 pada Oktober depan.
Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat percaya kata-kata sinis netizen yang mencadangkan inisiatif tersebut dibatalkan ekoran keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu lalu tidak akan mempengaruhi keputusan kerajaan.
“Ini pandangan yang serong dan tidak berpelembagaan kerana anggota Perkhidmatan Awam telah melakukan tugas dan kerajaan ini majikan kami.
“Kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan gaji, kami amat yakin kerajaan mampu untuk melaksanakannya. Keputusan PRN dilihat positif atau negatif itu tajuk lain,” katanya pada program Perhimpunan bersama Penjawat Awam Terengganu di sini hari ini.
Adnan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini jelas kekal komited dalam merealisasikan inisiatif meningkatkan gaji penjawat awam terbabit.
Jelas beliau, komitmen berterusan menunjukkan Anwar amat prihatin dan memahami kesukaran pejawat awam khususnya yang berada dalam kumpulan gaji terendah.
“Sistem saraan baharu sedang giat dijalankan (Jabatan Perkhidmatan Awam) dengan sesi libat urus melibatkan enam kluster telah selesai.
“Harapan kami agar permintaan seperi gaji minimum RM1,800, penstrukturan tangga gaji dan kenaikan pangkat dapat dipenuhi dalam sistem saraan baharu itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE