fbpx

Banyak rampasan berkaitan kes 1MDB nanti – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Pelbagai jenis rampasan akan dilakukan berkaitan kes 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) susulan penahanan Jasmine Loo Ai Swan, pada 7 Julai lalu kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Menurut beliau, siasatan terhadap wanita yang juga sekutu rapat Low Taek Jho atau Jho Low itu berjalan dengan sangat baik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) masih lagi meneruskan siasatan terhadap Jasmine di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) dan beliau juga memberikan kerjasama yang baik.

“(Selepas ini) kita akan melakukan rampasan yang banyak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Madani Ride oleh PDRM dan Ipoh Superbike Club (ISBC) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai tindakan rampasan dan lucut hak aset IMDB dalam tempoh terdekat, Razarudin menjelaskan perkara itu akan dilaksanakan namun siasatan mengikut AMLA berkemungkinan akan mengambil tempoh yang panjang.

“Kita dalam proses itu (rampas) namun disebabkan AMLA ini perlu melalui prosesnya, kita akan mulai dengan merampas selepas itu ia akan dilucutkan hak atas arahan mahkamah, berdasarkan cadangan-cadangan daripada PDRM,” katanya.

Katanya, sekutu rapat Jho Low itu juga akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas siasatan polis selesai kerana polis masih memerlukan Jasmine untuk melengkapkan banyak siasatan terhadap skandal kewangan itu.

Beliau bagaimanapun berkata, penahanan Jasmine melengkapkan lagi ‘serpihan-serpihan’ siasatan yang sedang dijalankan PDRM sejak beberapa tahun lalu.

“Insya-Allah kita memang ke arah itu (serpihan siasatan),” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Jasmine bekas peguam 1MDB yang juga sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low ditahan polis Julai lalu bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan.

Jasmine dikatakan antara sekutu rapat Low Taek Jho atau Jho Low yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang medianya ketika itu berkata, individu terbabit direman di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi.

Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu pengarah eksekutif Casey Tang dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low,Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI