fbpx

‘Babak pegang anjing dalam Adoiii Jiwaku bukan provokasi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELUM lagi berada di pawagam, babak membabitkan dua lelaki muslim menyentuh anjing dalam filem Adoiii Jiwaku telah mencetuskan perdebatan ramai.

PETALING JAYA – Mengambil inspirasi daripada filem Sepet, filem Adoiii Jiwaku dihasilkan bagi menonjolkan keunikan kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

Namun belum menjengah pawagam, babak membabitkan dua lelaki muslim menyentuh anjing yang dipaparkan telah mencetuskan polemik usai acara pratonton, bulan lalu.

Pengarahnya, Steve Yap berkata, adegan tersebut bukan diselitkan sebagai cara menjual kontroversi, sebaliknya elemen itu penting bagi menjelaskan situasi sebenar secara visual.

“Hakikatnya babak pegang anjing itu bukan sengaja diada-adakan untuk memancing emosi penonton atau sebagai unsur provokasi kerana kami sangat memahami sensitiviti hidup bermasyarakat.

“Biarpun ini kisah komedi, susunan plot serta mainan babak serta perwatakan mempunyai signifikasi supaya penonton memahami penceritaan serta mesej ingin disampaikan.

“Malah kami juga merujuk kepada pakar agama agar tidak berlaku isu berbangkit di kemudian hari, selain bertanyakan persetujuan pelakon dulu sebelum membuat babak tersebut,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menurut Yap yang juga penulis skrip dan antara penggalas watak, penonton perlu mengikuti dulu naskhah terbitan Lomo Pictures itu di pawagam pada 7 September ini sebelum membuat sebarang andaian.

Babak itu memaparkan Ali dan seorang lagi pelakon, Anuar Abdul Hamid memegang anjing kerana mahu membantu melepaskan haiwan itu yang sedang dalam kesakitan.

Dia yang meluahkan rasa lega apabila akhirnya skrip disimpan selama 10 tahun itu dapat direalisasikan turut teruja melihat sambutan awal penggiat seni.

Terbaharu, filem lakonan Ali Arami, Allahyarham Adibah Noor, Amber Chia, E Ramanamohan, Anuar Abd. Hamid dan Daniel Sher turut ditayangkan Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) 2023.

“Sudah tentu saya berbesar hati apabila wakil delegasi dari luar negara turut memberikan maklum balas positif terhadap kisah yang diketengahkan.

“Secara tidak langsung itu memberi petanda Adoiii Jiwaku mempunyai peluang cerah dalam mengajak penonton menyerbu pawagam September nanti.

“Banyak mesej yang ingin disampaikan dalam filem ini berlatarkan genre komedi ini apabila turut meraih trofi Pilihan Audiens dalam MIFFest, baru-baru ini,” ulasnya lagi.

Sementara itu, penerbitnya Aron Koh pula menyatakan filem bertemakan persahabatan ini dipenuhi pelbagai emosi yang pasti membuatkan penonton ketawa dan sayu.

Akuinya, pihaknya sengaja menyelitkan plot sarat emosi bagi membuai jiwa penonton biarpun naskhah ini berlatarkan genre komedi.

“Pastinya khalayak tidak akan kering gusi menonton telatah setiap watak, tetapi pada masa sama tetap merasa sayu dengan permainan emosi yang diselitkan,” katanya.

Kisah naskhah terbitan bersama MM2, MCM Cometro, Ant3, Fortune Studios dan Shinjuru itu mengenai tiga sekawan berbangsa Melayu, Cina dan India yang mempunyai perspektif berbeza sehingga kerap bertelagah.

Dalam satu peristiwa yang bermula dengan gurauan di pejabat, renjatan elektrik menyebabkan Sia, Ayis dan Malesh bertukar badan antara satu sama lain.

Mereka gagal menyesuaikan diri dengan situasi ini memandangkan terpaksa hidup di dalam badan orang lain sekali gus berdepan cabaran untuk kembali ke jasad asal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI