JAKARTA – Empat pelancong Australia dan dua warga Indonesia ditemui selamat dalam keadaan berpaut atas papan luncur, beberapa hari selepas kumpulan itu dilaporkan hilang di laut apabila bot dinaiki mereka dilanda cuaca buruk.
Saluran berita NBC News bagaimanapun melaporkan salah seorang daripada mereka tidak ditemui sehingga kini.
Namun, usaha menyelamat enam mangsa yang terkandas di kawasan pulau terpencil di luar wilayah Aceh setelah 38 jam operasi itu masih disambut dengan kegembiraan.
“Mereka ditemui terumbang-ambing di atas papan luncur mereka,” kata bapa kepada salah seorang mangsa, Peter Foote dalam satu sidang akhbar semalam.
Antara yang diselamatkan ialah anaknya, Elliot Foote yang menurutnya telah melakukan perjalanan ke Indonesia untuk meraikan hari lahirnya yang ke-30 bersama rakan-rakan.
Peter membacakan mesej daripada Elliot selepas diselamatkan yang berbunyi: “Hai Ayah, Elliot di sini. Saya masih hidup, selamat sekarang. Saya sayangkan anda, nanti kita berbual lagi.”
Menurut agensi mencari dan menyelamat Indonesia, sekumpulan 17 orang termasuk kru kapal menaiki dua bot berlepas pada Ahad lalu dari Nias Utara yang terletak sekitar 149 kilometer dari Pulau Sumatera.
Bot-bot itu dibadai cuaca buruk dengan hujan yang sangat lebat semasa perjalanan.
Ketika salah sebuah bot berhenti di pulau Sarang Alu, sebuah bot lain yang dinaiki Elliot meneruskan perjalanan. Ia adalah sebuah bot kayu sepanjang 9 meter, kata agensi itu. – Agensi