KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pertuduhan-pertuduhan didakwa ke atasnya bermotifkan politik.
Muhyiddin, 76, menegaskan dia tidak melakukan apa-apa kesalahan dari sudut undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau undang-undang lain dan perkara itu sudah terbukti.
“Saya bersyukur dan boleh nyatakan kita akan terus berusaha bekerja dan menjelaskan kepada khalayak umum mengenai apa yang dibuat oleh pihak tertentu untuk menganiaya saya dan hari ini terbukti pertuduhan-pertuduhan itu adalah palsu dan tidak benar serta tidak langsung menepati undang-undang untuk dibicarakan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.
Justeru, Muhyiddin berkata pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya boleh dianggap satu proses penyalahgunaan mahkamah oleh pihak-pihak tertentu.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut berterima kasih kepada semua terutama keluarga yang sentiasa memberi semangat, untuk menegakkan keadilan dan menentang kemungkaran.
“Ini juga memberikan saya dan rakan lain semangat lebih tinggi untuk terus berjuang menentang kezaliman penyalahgunaan kuasa rasuah,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Muhyiddin bagi empat pertuduhan salah guna kuasa suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin selaku pemohon untuk membatalkan empat pertuduhan berkenaan.
Dalam prosiding itu, Muhyiddin diwakili peguam-peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Amer Hamzah Arshad manakala pendakwaan selaku responden dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Grarib.
Sebelum ini, berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mendakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukan yang didakwa ke atasnya adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.
Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram RM195 juta tiga tahun lalu.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk empat suapan masing-masing RM200 juta, RM1juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta yang kesemuanya berjumlah RM232.5 juta.
Ia yang mana kesemua suapan-suapan itu diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu.
Bagi empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE