fbpx

Sama-sama bangunkan P. Pinang atas dasar Kerajaan Perpaduan – Musa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir yakin parti itu mampu memberi sumbangan yang bermakna jika diberikan ruang dan peluang untuk turut sama mentadbir kerajaan negeri selepas ini.

Musa yang juga Pengerusi BN negeri berkata, walaupun mereka cuma memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, itu bukan halangan untuk parti itu terus berbakti kepada rakyat.

“Ya, kita memang nak jadi sebahagian daripada kerajaan (di Pulau Pinang). Kalau kat tempat (negeri) lain boleh buat (bentuk kerajaan perpaduan bersama BN), kenapa ‘Penang’ tak boleh?

“Kita mahu sama-sama membangunkan lagi Pulau Pinang atas dasar semangat dalam kerajaan perpaduan tanpa mengambil kira sama ada diberi jawatan sebagai Exco (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) sahaja atau jawatan TKM (Timbalan Ketua Menteri I),” katanya kepada Kosmo!, hari ini.

Terdahulu, timbul desas-desus yang mengatakan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam yang baharu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bakal dilantik sebagai pemimpin nombor dua atau TKM I Pulau Pinang selepas ini.

Selain Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas itu, turut disebut-sebut bakal dilantik sebagai TKM II ialah ADUN Batu Uban, A. Kumaresan yang mewakili PKR.

Dalam pada itu, Musa meminta agar rakyat Pulau Pinang memberikan lebih masa kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN membina keserasian demi manfaat semua pihak.

“Kami (BN dan PH) baru lapan bulan bekerjasama. Itu pun rakyat dah dikelirukan dengan macam-macam isu.

“Jadi, saya minta agar kami terus diberi peluang untuk membawa suara-suara rakyat khususnya di Pulau Pinang selepas ini,” kata beliau.

Tambah Musa, UMNO dan BN negeri akan bangkit selepas memperbaiki kelemahan yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan PRN baru-baru ini demi kepentingan rakyat. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI