SEREMBAN – Bidang tugas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri, Negeri Sembilan yang bakal dilantik kelak akan diselaraskan semula agar selari dengan tugas di peringkat kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara tersebut dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat apabila barisan Exco yang akan dilantik dapat dimuktamadkan.
“Itu belum dibincangkan (barisan Exco) lagi, dan Insya-Allah dalam masa terdekat akan dibincangkan dan mungkin penjenamaan semula nama supaya selari dengan peringkat Persekutuan. Tugasan juga akan ditambah baik,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Wisma Negeri di sini hari ini.
Semalam, selepas dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan buat penggal keduanya, Aminuddin memberitahu, seramai 10 orang Exco negeri akan dilantik dan perkara tersebut akan diselesaikan minggu ini.
Beliau berkata, kesemua yang dilantik akan terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kesemua parti dalam Kerajaan Perpaduan dan ia akan dimuktamadkan selepas rundingan di antara semua parti terlibat diadakan.
Sementara itu, dalam sidang akhbar hari ini, Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara mengenai pelantikan Exco dalam kalangan ADUN dari parti tersebut akan dibincangkan bersama Aminuddin.
“Nisbahnya juga belum ditentukan lagi, seperti biasa, perbincangan tertutup dengan parti masing-masing dan sudah tentu perbincangan akan dibuat dalam masa terdekat dengan Menteri Besar.
“Saya yakin perkara itu dapat diuruskan dengan baik oleh Menteri Besar, beliau ada pengalaman, lima tahun jadi Menteri Besar dan saya amat yakin dengan kebijaksanaan beliau untuk buat satu keputusan yang baik dan adil serta memuaskan hati semua pihak,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE