fbpx

Perkeso Perak sasar 70,000 suri rumah mendaftar SKSSR tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roslan (tiga dari kiri) dan Mohd. Shaperi (tiga dari Kanan) bergambar dengan penerima bantuan Perkeso di Hotel Sfera, Seri Manjung Hari ini.

MANJUNG – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak menyasarkan sekurang-kurangnya 70,000 suri rumah di negeri ini mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang berkuat kuasa sejak 1 Disember 2022.

Timbalan Pengarahnya, Roslan Pilus berkata, jumlah suri rumah yang menyertai skim caruman tersebut masih rendah di Perak, justeru pihaknya kini sedang giat mengadakan promosi bagi meningkatkan kesedaran golongan berkenaan mengenai skim berkenaan.

“Antara langkah yang diambil Perkeso Perak termasuklah menjalin kerjasama dengan pejabat-pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Kita bekerjasama untuk memberi penerangan kepada semua pihak mengenai kelebihan mencarum di bawah SKSSR.

“Skim ini bertujuan untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Inisiatif Baharu Perkeso bersama Pemegang Taruh Peringkat Perkeso Seri Manjung di Hotel Sfera di sini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan golongan suri rumah tidak mencarum dengan SKSSR biarpun caruman bagi skim itu hanya bernilai RM120 bagi tempoh 12 bulan.

“Caruman itu perlu dibayar secara one-off, jadi ia mungkin satu jumlah yang besar bagi golongan tidak berkemampuan. Justeru, mana-mana pihak ketiga seperti syarikat-syarikat boleh membantu suri rumah untuk mencarum di bawah SKSSR,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengurus Perkeso Seri Manjung, Mohd. Shaperi Md. Salleh berkata, sebanyak 27 majikan dikenakan kompaun bernilai RM25,000 menerusi Ops Kesan yang dilaksanakan di sini baru-baru ini.

“Kesemuanya (majikan) didapati tidak mencarum (pekerja). Jika majikan mengambil individu untuk bekerja dengan mereka, maka ia menjadi satu kewajipan untuk mencarum pekerja tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI