fbpx

PDRM terima permohonan lisan berhubung notis merah kes menantu Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin pada sidang akhbar Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima permohonan secara lisan berhubung notis merah terhadap menantu Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan dan seorang peguam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindakan notis tersebut.

“Setakat ini, permohonan notis merah ini hanya secara lisan dan kita akan bekerjasama dengan maklumat yang diberikan kepada kita untuk tindakan.

“Insya-Allah (notis merah) akan disampaikan kepada kita nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Pada 11 Ogos lalu, PDRM menyatakan kesediaan bekerjasama dengan SPRM untuk mengenakan notis merah terhadap dua individu termasuk Muhammad Adlan.

Dilaporkan, tindakan menyenaraikan nama mereka di dalam notis merah akan dilakukan sekiranya dimohon SPRM.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya akan memohon bantuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menyenarai hitamkan pasport kedua-dua individu tersebut.

Ini kerana, kata beliau, kedua-dua mereka diperlukan untuk tindakan mahkamah (pendakwaan).

Dalam pada itu, Azam berkata, pihaknya akan memohon ‘red notice’ atau notis merah kepada Polis Antarabangsa (Interpol) agar menyenaraikan kedua-dua individu terbabit jika masih gagal dikesan.

Terdahulu, menantu Muhyiddin serta seorang peguam Mansoor Saat, 69, dicari SPRM bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

SPRM cuba menghubungi dua lelaki terbabit secara terus dan menerusi peguam masing-masing namun kedua-dua mereka enggan tampil memberi kerjasama.

Semakan rekod oleh SPRM juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI