KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu mempamerkan kertas undi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri, Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, pihaknya menjalankan siasatan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya selepas menerima laporan berkaitan kejadian tersebut.
“Kita akan memanggil beliau (Muhammad Sanusi) untuk dirakamkan keterangan.
“Kita akan siasat apa sahaja laporan yang diterima, keputusannya untuk mendakwa terletak kepada Peguam Negara,” Katanya pada sidang akhbar Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.
Terdahulu, tular gambar Muhammad Sanusi dengan kertas undi yang memaparkan pilihan beliau sebelum memasukkannya ke dalam kotak undi.
Mengikut akta berkaitan, perbuatan itu kesalahan mengikut Perkara (39) – tiada pemilih yang telah mengundi dalam mana-mana pilihan raya boleh, dalam mana-mana prosiding yang mempersoalkan pilihan raya itu, dikehendaki menyatakan siapa yang telah diundinya.
Menurut akta tersebut, kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.-KOSMO! ONLINE.