fbpx

Maut menunggu, berjuta-juta periuk api menanti mangsa di Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang anggota Briged Marin ke-35 Ukraine melakukan pembersihan periuk api di Donetsk. - Anadolu Agency

KIEV, Ukraine – Ukraine mengalami masalah kritikal kekurangan tenaga pakar untuk membersihkan periuk api yang berselerakkan di zon perang dengan Russia, lapor akhbar The Guardian kelmarin.

Perang berpanjangan menjadikan Ukraine sebagai negara yang dipenuhi bahan letupan tersebut.

Menteri Pertahanan, Oleksii Reznikov berkata, pasukan tenteranya menemui lima periuk api bagi setiap meter persegi kawasan. Semua periuk api itu ditanam oleh askar Russia untuk menggagalkan serangan Ukraine.

Menurutnya, adalah amat penting untuk sekutu-sekutu Ukraine membantu meningkatkan dan mempercepat latihan pembersihan periuk api kepada pasukan tempatan.

Kata Reznikov, negara se­perti Jepun yang enggan memberi bantuan senjata, wajar menawarkan sumbangan dari segi peralatan membersihkan periuk api serta latihan.

“Hari ini, Ukraine menjadi negara paling banyak periuk api di seluruh dunia.

“Negara kami dipenuhi beratus-ratus kilometer medan periuk api, berjuta-juta bahan letupan itu, manakala di barisan hadapan, sehingga lima periuk api ditemui dalam kawasan seluas satu meter persegi.

“Periuk api yang ditanam oleh tentera Russia merupakan halangan serius kepada askar kami dan ia tidak dapat diatasi. Kami memiliki anggota yang mahir serta peralatan moden, namun jumlah mereka tidak mencukupi,” katanya.

Sesetengah periuk api di Ukraine diletakkan oleh tentera negara itu sendiri bagi melin­dungi barisan pertahanannya, namun sebahagian besar bom itu ditanam askar Russia.

Presiden Volodymyr Zelenskyy berkata, disebabkan Ukraine perlu menunggu penghantaran bekalan senjata dari Barat, Kiev telah menangguhkan serangan balas tenteranya pada tahun ini.

Keadaan itu membolehkan askar Russia menanam berjuta-juta periuk api di hadapan kedudukan mereka.

Ukraine mempunyai lima batalion jurutera yang dibahagikan kepada 200 briged. Setakat Mei lalu iaitu sebelum permulaan serangan balas Kiev pada tahun ini, setiap pasukan itu mempunyai kekuatan 30 anggota.

Sementara itu, mesyuarat di Jerman pada Julai lalu yang dihadiri oleh 54 negara penyokong menyokong menyaksikan Ukraine, Lithuania, Finland, Iceland, Norway, Sweden dan Denmark bersetuju melatih dan membekalkan unit pembersih periuk api kepada Kiev. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI