fbpx

Masa untuk wakil rakyat tunai janji – Mufti P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Salim

GEORGE TOWN – Setiap wakil rakyat yang telah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Sabtu lalu diingatkan bahawa mereka kini memikul amanah dan tanggungjawab yang berat di hadapan Allah SWT dan rakyat.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, seluruh rakyat akan memerhati dan memantau sejauh manakah mereka yang telah dipilih menepati janji-janji yang ditabur melalui manifesto parti yang diwakili.

“Setelah berlangsungnya PRN bagi enam buah negeri pada 12 Ogos lalu yang lalu maka berakhirlah tempoh berkempen bagi parti-parti politik yang bersaing untuk merebut tampuk pemerintahan. Rakyat telah membuat pilihan, sama ada bersetuju atau tidak maka semua pihak mesti akur dan menghormati keputusan tersebut.

“Kini bukan lagi masanya untuk berpolitik, tetapi masa untuk meneruskan segala usaha pembangunan bagi memenuhi keperluan hidup rakyat dan meratakan kebajikan dan kesejahteraan untuk semua,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, setiap wakil rakyat mesti sedar bahawa matlamat sebenar yang dikehendaki di sebalik kemenangan di dalam pilihan raya tidak terhenti dengan kuasa pemerintahan yang berjaya direbut, tetapi perkhidmatan kepada rakyat yang diwakili di dalam pelbagai bidang pembangunan fizikal, mental dan rohani.

Tambahnya, termaklum bahawa kehidupan rakyat terutama di negeri-negeri tertentu masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan dan kemajuan.

“Justeru usaha islah atau pembaikan perlu digerakkan dengan lebih lancar dan agresif, semoga wakil-wakil rakyat yang terpilih akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan jujur dan ikhlas,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, rakyat juga mengharapkan kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat akan terjalin dengan lebih erat untuk kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan ideologi dan kefahaman politik yang didokong oleh parti-parti yang dianggotai. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI