fbpx

Mahkamah: Jabatan Peguam Negara kemuka rayuan pembebasan Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. -Foto oleh SHIDDIQIEN ZON/KOSMO!

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta.

Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataannya hari ini berkata permohonan yang telah diputuskan oleh mahkamah sebentar tadi hanyalah berkenaan dengan empat pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Manakala tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ke atas Tan Sri Muhyiddin masih kekal dan tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ialah pada 19 September 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin yang membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan seterusnya memerintahkannya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan predikat tersebut.

Terdahulu dalam prosiding pagi tadi, Hakim Muhammad Jamil melepaskan dan membebaskan Muhyiddin, 76, setelah mendapati keempat-empat pertuduhan dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional itu adalah kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan empat suapan masing-masing RM200 juta, RM1juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta yang kesemuanya berjumlah RM232.5 juta.

Ia yang mana kesemua suapan-suapan itu diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Bagi empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI