fbpx

Empat beranak dihalang naik ‘cruise’, rugi RM5,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang pengasas produk yang dikenali sebagai Azura berkongsi rasa kecewa apabila hasratnya bersama keluarga untuk bercuti menaiki kapal peranginan tidak kesampaian.

Menurut usahawan itu, segalanya telah dirancang sejak beberapa bulan lalu, namun pada hari kejadian mereka sekeluarga dilarang menaiki kapal peranginan tersebut disebabkan masalah pasport yang sudah hampir dengan tarikh tamat tempoh.

“Dah dapat peluang naik kapal laut, rasa seronok sangat. Dengan anak-anak pula itu. Saya memang dah rancang perjalanan istimewa ini untuk mereka. Tetapi Allah tak mengizinkan.

“Yang dapat naik, anak sulung seorang yang lain iaitu saya, suami dan dua lagi anak tidak dapat naik,” katanya menerusi perkongsian video yang dimuat naik di TikTok.

Azura kemudian cuba menghubungi individu yang bertanggungjawab menguruskan percutian mereka namun panggilan tidak dijawab.

Bercerita lanjut, Azura memaklumkan dia tidak tahu tentang prosedur pasport yang perlu diperbaharui sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal.

Jelasnya, meskipun berbaki dua hingga lima bulan sebelum tarikh luput, mereka tetap tidak dibenarkan masuk.

Wanita tersebut cukup terkilan kerana maklumat penting sebegitu tidak dimaklumkan oleh pihak agensi pelancongan yang menguruskan percutian mereka.

“Nak dijadikan cerita, pasport saya tinggal sebulan lagi nak tamat tempoh. Saya tak tahu tentang prosedur pasport perlu diperbaharui enam bulan sebelum tamat tempoh. Tiada sebarang taklimat daripada mana-mana pihak mengenai perkara itu.

“Sampai di imigresin di sini, kami tak dibenarkan naik sebab pasport tak lepas. Bayangkan dua anak kecil saya yang teruja nampak kapal besar itu dan nak naik,” luahnya sedih.

Kini, wanita itu hanya mampu berharap wangnya berjumlah RM5,000 dapat dikembalikan oleh pihak agensi berkenaan atau menggantikan trip percutian yang lain untuk dia sekeluarga.

Sementara itu, di ruangan komen, netizen memaklumkan ada peringatan yang telah dinyatakan dalam pasport di mana pemegang pasport perlu memperbaharui pas perjalanan enam bulan sebelum menghampiri tamat tempoh, jika merancang untuk ke luar negara.

Bagaimanapun, ada juga yang bersimpati dengan nasib Azura sekeluarga.

“Sabar ya ‘sis’, moga ada rezeki lain untuk bawa keluarga bercuti,” kata Nur Aliah.

“Sabar puan. Anggaplah ia bukan rezeki puan dan keluarga. Insya-Allah ada rezeki yang lebih baik untuk keluarga di kemudian hari,” ujar Aleena. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI