KAPTEN skuad hoki negara, Muhammad Marhan Mohd. Jalil melaungkan amaran kepada para pencabar terutama musuh ketat, India bahawa pingat emas Sukan Asia Hangzhou, China bulan depan adalah milik Malaysia.
Jeneral pertahanan berusia 33 tahun itu melaungkan keyakinan tersebut bagi menebus kekecewaan mereka tewas tipis 3-4 kepada India pada aksi final Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai pada Sabtu lalu.
Marhan percaya rakan-rakan sepasukannya mampu menewaskan lawan ranking ketiga dunia itu selepas kedua-dua pasukan sekali lagi diramal membuat perhitungan pada final Sukan Asia Hangzhou nanti.
“Sudah tentu kita akan kalahkan India sekali lagi. Kita perlu kalahkan semua pasukan kalau nak menang (pingat) emas Sukan Asia.
“Kita boleh boloskan India dan kita dah buktikan perkara ini. Tak semestinya kita dah mengaku kalah terlalu awal kerana kita dah tunjukkan perkara ini pada final ACT.
“India mesti akan lebih berhati-hati sebab pasukan kita berjaya mendahului mereka 3-1 pada awal final ACT. Kalau dapat kekalkan momentum dan kurangkan pengambilan kad, kita mesti boleh jaring lebih banyak gol,” katanya.
Biarpun gagal bergelar juara tetapi Speedy Tigers, No.9 dunia, tetap berjaya mengukir sejarah baharu apabila mara ke pentas final ACT buat kali pertama sejak kejohanan itu mula dianjurkan pada 2011.
Kejayaan itu meningkatkan keyakinan anak-anak buah A. Arul Selvaraj untuk mencipta kejayaan ke final Sukan Asia dengan misi meraih pingat emas, sekali gus layak automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.