Keputusan yang diraih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini boleh disifatkan sebagai satu tamparan hebat kepada gabungannya dengan Pakatan Harapan (PH).
Manakan tidak, hanya 19 kerusi DUN sahaja mampu dimenangi, sekali gus menunjukkan tahap penolakan pengundi kepada BN berada di tahap tinggi.
Kekalahan majoriti besar calon dipertaruhkan BN di Kelantan, Terengganu dan Kedah seolah-olah menunjukkan parti tersebut sudah tidak ada tempat di negeri-negeri berkenaan, biarpun pemimpin BN tempatan masih ‘bersangka baik’ dengan keputusan itu.
‘Bersangka baik’ terhadap keputusan sudah menjadi lumrah di sebalik setiap kekalahan dicatatkan, namun fakta kekal sebagai sebuah fakta bahawa BN tewas di kebanyakan kawasan ditandingi kali ini, ditolak sepenuhnya oleh rakyat.
Hanya keputusan PRN Negeri Sembilan boleh dibanggakan apabila BN berjaya meraih 14 daripada 17 kerusi dipertandingkan. Keputusan itu disifatkan penyejuk hati penyokong BN kerana masih ada tempat yang mahukan wakil rakyat dari BN.
Penganalisis politik dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara, Dr. Aziz Azizam berkata, PRN pada kali ni menunjukkan penolakan keras orang Melayu terhadap UMNO.
Katanya, ini merupakan satu tamparan dan isyarat jelas kepada kepimpinan UMNO sekarang.
“Kesan dan impak ini dikhuatiri berlanjutan hingga PRU (pilihan raya umum) akan datang.
“Pada masa sama, PRN pada Sabtu lalu turut memberikan satu penilaian terhadap kedudukan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan hari ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, komposisi Kerajaan Perpaduan pada jangka masa panjang perlu melihat sama ada UMNO sebagai peluang dan kekuatan atau sebenarnya beban yang berkapasiti memberi kesan negatif kepada keseluruhan komposisi tersebut.
Keputusan PRN kali ini juga turut mendapat ulasan daripada Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menerusi hantarannya di Facebook apabila beliau berpendapat, pemimpin dalam parti itu mempunyai peranan untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat.
Katanya, biarpun ramai yang bercakap mengenai kekalahan UMNO yang besar berbanding dengan kemenangan parti lain, ia menunjukkan bahawa ramai masih sayangkan parti tetapi tidak percaya kepada UMNO ketika ini.
“Tugas pemimpin UMNO kali ini adalah untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO. Membawa suara rakyat perlu diutamakan, bukan suara pemimpin.
“Berani untuk berubah, jika kita tidak mahu UMNO terus dilupakan,” katanya.
Dengan keputusan dicapai kali ini, sudah tentu laluan berliku bakal ditempuh BN terutamanya UMNO menjelang PRU akan datang kerana iklim politik ketika ini menunjukkan rakyat mempunyai suatu sentimen terhadap gabungan tersebut.
Suara akar umbi yang jelas mahukan perubahan perlu didengar dan diambil tindakan sewajarnya, bukannya ditenggelamkan dengan alasan kepimpinan parti tahu apa yang mereka lakukan.
Kepimpinan parti boleh melakukan postmortem terhadap keputusan PRN kali ini dan merencana langkah seterusnya.
Hakikat pahit yang perlu ditelan ketika ini, BN berhadapan laluan sukar untuk mengembalikan kepercayaan pengundi, namun masih belum terlambat untuk melakukan perubahan yang dimahukan penyokong.