fbpx

Aminuddin mulakan tugas sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMINUDDIN di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan di Wisma Negeri, Seremban bagi memulakan tugasnya hari ini.-Foto ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN – Datuk Seri Aminuddin Harun memulakan tugas beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan secara rasmi hari ini selepas dilantik ke jawatan itu, petang semalam.

Beliau meletakkan ibu jari pada mesin perakam waktu pada pukul 9.50 pagi tadi sebagai tanda melaporkan diri di pejabatnya di Wisma Negeri di sini.

Aminuddin kemudiannya, turut meluangkan masa beramah mesra dengan kakitangan Pejabat Menteri Besar sebelum memulakan tugas.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan dihadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat selepas menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu dengan majoriti sebanyak 2,662 undi.

Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Raihan Muhamad Hilal dan dua calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.

Aminuddin dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan buat penggal kedua selepas PH dan Barisan Nasional (BN) memenangi sebanyak 31 kerusi daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.- KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI