PETALING JAYA – Filem seram versi reboot, Rahsia meraih kutipan mencecah RM2.2 juta dalam tempoh lima hari ditayangkan di pawagam.
Berita tersebut dikongsikan dalam Instagram rasmi Astro Shaw selaku penerbit bersama syarikat produksi Five Star Trading, hari ini.
“Alhamdulillah. Filem seram Rahsia berjaya mendapat kutipan sebanyak RM2.2 juta dalam masa lima hari tayangan. Terima kasih kepada semua,” tulis hantaran tersebut.
Rahsia sentuhan anak kepada sutradara asal Othman Hafsham iaitu Shamyl dijangka mampu mengekalkan momentum untuk terus menarik penonton ke pawagam.
Meraih reaksi positif daripada penonton dan penggiat industri filem, Rahsia di tangan Shamyl dikatakan membuatkan khalayak tidak senang duduk sepanjang tayangan.
Sarat elemen mengejutkan dengan suntikan beberapa babak ikonik seperti naskhah terdahulu, setiap adegan mampu membuatkan bulu roma meremang.
Paling meraih perhatian tentu saja Nabila Huda sebagai penggalas karakter Ramlah yang dibawakan Noorkumalasari dalam versi filem asal terbitan tahun 1987.
Sebagai isteri dan ibu yang kehilangan anak lelaki, aktres berusia 38 tahun itu dipuji ramai berikutan penghayatan serta emosi ditonjolkan.
Selain Nabila dan Fikry sebagai Hamdan, filem tersebut turut membariskan Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah, Mislina Mustaffa, serta penampilan istimewa, Othman dan Susan Lankester.
Rahsia membongkar sejarah silam sebuah keluarga membabitkan Ramlah bersama Hamdan dan anak-anak, Marina serta Saiful yang pulang bercuti di rumah ayah wanita itu, Tan Sri Karim.
Keadaan menjadi kelam kabut apabila Saiful tiba-tiba hilang sewaktu mereka berkelah di tepi pantai membuatkan polis melakukan pencarian namun pada masa sama Ramlah yakin anaknya itu disorok kuasa mistik. – KOSMO! ONLINE