fbpx

UMNO perlu perubahan drastik sebelum hancur – Isham Jalil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Isham.

PETALING JAYA – UMNO perlu melakukan perubahan drastik sekiranya mahu mengembalikan kepercayaan ahli akar umbi serta mengelakkan parti hancur pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil, sekiranya parti itu masih kekal dalam sindrom penafian serta tidak berubah pihak lawan akan bertepuk tangan sehingga PRU16.

Jelasnya, untuk bangun kita perlu ikhlas dan jujur dengan diri sendiri dan merubah keadaan serta mempunyai keberanian untuk membawa perubahan.

“Jika kita tidak berubah di saat getir ini, kita akan tamat sebab kita tidak sedar diri walaupun kita sudahpun rebah.

“Jika kita tidak berubah, lawan kita akan bertepuk tangan sehingga ke PRU16, ini yang mereka mahu, iaitu UMNO hancur di tangan diri sendiri,” katanya di laman Facebook.

Malah Isham menambah, UMNO tidak perlu buat pemutihan ke atas ahlinya kerana bukan mereka yang perlu diputihkan atau dibuang walaupun disyaki mengundi parti lain.

Ini kerana katanya, sekiranya melakukan pemutihan, tinggal berapa kerat sahaja ahli dan penyokong di akar umbi.

“Mereka akan lebih marah dan benci kepada UMNO dan akan jadi penyokong tegar parti lawan. Ini yang parti lawan kita mahu.

“Sebaliknya kita perlu cari dan akui sebab dan punca mengapa penyokong tegar kita yang selama ini menyokong UMNO kini protes dan menyokong parti lawan. Punca dan sebab ini perlu ditangani segera,” ujarnya.

Tambah beliau, dahulu penyokong tegar ini menjadi perayu undi kepada pengundi atas pagar, tetapi kini mereka juga sudah hilang kepercayaan dan perlu diyakinkan.

“Kita perlu yakinkan mereka dengan kebenaran dan keikhlasan, bukannya retorik dan spin politik. Penyokong tegar kita sudah lama dalam politik, mereka tahu menilai,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI