JAKARTA – Seorang lelaki di Serang, wilayah Banten memukul bapa tirinya menggunakan kayu sehingga mati selepas mengetahui mangsa menjalin hubungan terlarang dengan isteri pelaku lapor laman berita Tribunnews hari ini.
Ketua Polis Serang, Komisioner Polis Tedy Heru Murtianto berkata, Saeful Rohman, 32, baru mendapat tahu mengenai kecurangan isteri dan bapa tirinya walaupun kedua-dua mereka sudah berlaku curang sejak empat tahun lalu.
“Setelah mengetahui kecurangan itu, mangsa telah diusir dari rumah oleh pelaku,” katanya.
Namun, Tedy berkata, selepas dua hari dihalau, mangsa, Pery Sundandar, 52, kembali ke rumah tersebut untuk mengambil telefon bimbit yang pernah diberikan kepada isteri suspek iaitu menantunya sendiri.
Menurutnya, kedatangan mangsa membuatkan suspek kembali naik darah lalu kedua-dua mereka bertengkar sebelum berlakunya pergelutan.
“Suspek terus pergi ke belakang rumahnya untuk mengambil kayu. Dia kemudian memukul mangsa sehingga dia meninggal dunia.
“Polis telah menahan suspek,” kata Tedy. – AGENSI