PETALING JAYA – Pelakon jelita Riena Diana menegaskan bahawa dirinya sekarang berstatus solo dan meminta orang ramai tidak mengaitkan dirinya dengan bekas kekasih, Nik Afiq.
Kata pemilik nama lengkap, Nur Qamarina Diana Zulreal dia tidak menjalin hubungan cinta dengan mana-mana lelaki buat masa sekarang.
“Tidak lagi nak bertolak ansur dengan apa-apa dan saya gembira dengan diri saya sendiri buat masa sekarang. Saya single dan tidak terikat dengan sesiapa pun.
“Tolong berhenti tanya sama ada saya sudah berbaik ke bergaduh ke sebab dah tiada apa-apa yang berlaku antara kami. Jadi, tiada apa nak dicakapkan lagi dah,” katanya menerusi InstaStory.
Kini sendiri, pelakon yang cukup dikenali menerusi karakter Lailer drama Kampung People itu memaklumkan bahawa perkahwinan itu bukanlah segala-galanya dalam kehidupan.
“Apa-apa pun, sebuah perhubungan bukan segalanya. Perkahwinan bukan segala-galanya.
“Ada bahagian lebih besar dalam hidup yang lebih penting daripada semua itu.
“Jadi, tolonglah ada banyak lagi yang perlu saya capai dalam hidup, bukan sekadar berkahwin sahaja,” coretnya lagi.
Riena, 26, turut dengan bersahaja menjawab soalan netizen lelaki yang menawarkan diri untuk menjadi kekasihnya.
“Maaf permohonan masih belum dibuka. Buat masa sekarang, nak perbetulkan diri dahulu sebab saya bukan baik sangat pun. Lebih baik fokus pada diri dahulu, kemudian barulah (fikirkan) orang lain,” ujarnya.
Hujung September tahun lalu, aktres kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu dikatakan sudah berpisah dengan kekasih, Nik Afiq namun perhubungan kembali bercantum sebulan selepas itu. – KOSMO! ONLINE