ALOR SETAR – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyatakan bahawa beliau memaafkan semua yang melakukan serangan termasuk memfitnahnya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau memberikan kemaafan itu atas dasar ukhuwah Islamiah serta sikap baik yang diajarkan alim ulama.
“Bagi pihak diri saya, saya Muhammad Sanusi Md. Nor yang telah diserang bertubi-tubi, bertalu-talu dengan macam-macam fitnah dan serangan, saya maafkan semua serangan itu.
“Tuan-tuan (penyokong) yang tersakiti kalau tuan-tuan juga memaafkan, boleh lafazkan sendiri. Bagi pihak saya, saya maafkan dan kalau dia buat lagi, kita lawan lagi, lepas itu kita tengok nak maafkan atau nak ‘renyak’,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks Pas Kedah, di sini malam tadi.
Muhammad Sanusi pada masa sama mewakili seluruh jentera dan penyokong turut memohon maaf kepada seluruh rakyat yang terasa dengan kempen dijalankan.
“Kalaulah sepanjang kempen pilihan raya ini kita ada sakiti sesiapa, ada sesetengah pihak terasa hati sehingga dipalu menusuk kalbu dengan istilah atau ucapan, saya mewakili seluruh penyokong, jentera PN memohon ampun maaf.
“Ada yang kami tidak sengaja, ada yang kami terpaksa dan adakalanya kami diprovok sehingga terlalu sakit untuk menahan sehingga kami terpaksa lepaskan supaya kamu turut rasa apa yang kami rasa,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapan sama, Muhammad Sanusi juga meminta kepimpinan Kerajaan Pusat agar tidak ‘mendenda’ atau mengenepikan hak rakyat Kedah kerana menolak gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN ini. – KOSMO! ONLINE