PETALING JAYA – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Megat Zulkarnain Omardin mempertimbangkan untuk mengemukakan petisyen bantahan terhadap keputusan pilihan raya negeri (PRN) berikutan kekalahan tipis 58 undi ketika bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N17 Gombak Setia.
Pengerusi UMNO Selangor itu berkata, proses mengemukakan petisyen bantahan sedang dilakukan oleh pasukan guaman yang dilantik.
“Saya ada menerima pelbagai permintaan agar membuat petisyen di atas keputusan yang diumumkan.
“Pasukan peguam saya sedang meneliti dan sedang mengumpul bukti untuk kemukakan petisyen bantahan ke mahkamah agar dapat diberikan pertimbangan sewajarnya.
“Insya-Allah kalau diberikan keizinan (menang) oleh Allah SWT, kita serahkan kepada peringkat tertinggi (mahkamah) untuk membuat keputusan,” katanya menerusi video ringkas yang dimuat naik di TikTok rasminya, malam tadi.
Dalam pada itu, Megat Zulkarnain turut berterima kasih kepada pengundi yang terus setia memberi kepercayaan kepada beliau dalam dunia politik ini.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada 30,241 pengundi-pengundi di dalam DUN Gombak Setia yang telah pun memberi undi kepada saya.
“Saya anggap undi itu bukanlah hanya undi semata-mata tetapi itu adalah amanah dan kepercayaan yang telah pun tuan puan saudara saudari berikan kepada saya.
“Saya telah pun sebaik mungkin sepanjang tempoh kempen ini cuba meyakinkan para pengundi untuk memilih dan memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat bagi rakyat Gombak Setia yang saya kasihi. Namun kita terima keputusan yang telah diputuskan,” katanya.
PRN Selangor DUN Gombak Setia menyaksikan calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Hilman Idham berjaya mempertahankan kerusi disandangnya selepas memperoleh 30,299 undi menewaskan Megat Zulkarnain yang meraih 30,241 undi, manakala calon Bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali, 1,076 undi. – KOSMO! ONLINE