KOTA BHARU – Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi bayangan calon Menteri Besar Kelantan dan Timbalan yang baharu bukan terdiri daripada gandingan sama yang menerajui kerajaan negeri sebelum ini.
Menurutnya, calon-calon yang dipilih oleh parti itu merupakan wakil rakyat berpengalaman dan mungkin pernah memegang jawatan Exco pada penggal lalu.
“Menteri Besar dan Timbalan merupakan gabungan baharu dan bukan gabungan sekarang (sebelum ini). Mereka juga tidak terlalu tua. Ramai bekas wakil rakyat (Pas) yang tua sudah tidak bertanding (pada Pilihan Raya Negeri).
“Boleh jadi (Menteri Besar dan Timbalan terdiri daripada Exco sebelum ini). Mereka mesti individu yang ada pengalaman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat dan Kelantan di Kediaman Menteri Besar di sini malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan, Takiyuddin dalam satu kenyataan berkata, Kelantan akan memiliki gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baharu sekiranya Pas menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Mengulas lanjut, Takiyuddin memberitahu, Pas sudah mengangkat nama calon yang diyakini sesuai untuk dilantik sebagai Menteri Besar kepada Sultan Kelantan.
“Lantikan Timbalan Menteri Besar dan Exco juga kuasa multak Tuanku atas nasihat Menteri Besar. Mengikut perlembagaan Kelantan, jawatan Timbalan Menteri Besar terdiri daripada salah seorang daripada 10 Exco yang dilantik.
“Seperti yang diumumkan sebelum ini, Datuk Ahmad Yakob (bekas Menteri Besar Kelantan) akan mengangkat nama Menteri Besar baharu kepada Sultan Kelantan esok (hari ini),” katanya.
Terdahulu, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan,55, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri yang menang di DUN Temangan pada PRN dikaitkan dengan jawatan Menteri Besar Kelantan.
Wakil rakyat Pas di DUN Meranti, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud, 58, yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta juga dikhabarkan merupakan salah satu calon yang akan menggantikan Ahmad.
Mereka berdua juga dilihat boleh digandingkan bagi jawatan Menteri Besar dan Timbalan selaras dengan ketetapan Pas pusat yang mahukan gandingan agamawan dan teknokrat bagi jawatan tersebut.
Berdasarkan rekod, Mohd. Nassuruddin merupakan calon Pas yang bertanding pada PRN baru-baru ini bagi golongan agamawan manakala Mohamed Fadzli pula teknokrat. – KOSMO! ONLINE