SHAH ALAM – Pengusaha bas ekspre dikatakan terus mementingkan diri apabila dikesan menggunakan ‘tayar botak’ yang mampu mengundang bahaya termasuk menyebabkan kemalangan.
Perkara itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi operasi selama empat jam di lima lokasi sekitar Lembah Klang, semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, berdasarkan pemeriksaan mendapati 30 daripada 49 kesalahan dikesan melibatkan aspek teknikal seperti cermin retak dan tayar botak.
Katanya, operasi dijalankan sekitar Terminal Seksyen 17, Shah Alam; Terminal Jalan Reko, Kajang, Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Plaza Tol Awan Besar, Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Gombak.
“Kita turut mengesan berlakunya sebanyak 16 kesalahan ketiadaan pemandu kedua dan tidak kemaskini buku log (3).
“Ini adalah hasil pemeriksaan terhadap 117 buah bas bagi memastikan pemandu yang membawa kenderaan perkhidmatan awam mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Kamarunzaman, JPJ Selangor mengesan kebanyakan pemilik bas tidak menggunakan dua pemandu bagi perjalanan jarak jauh dengan alasan untuk menjimatkan kos bayar gaji pemandu.
Jelas beliau, kesemua kes ini disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Penguatkuasaan secara berterusan akan dijalankan dengan tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu yang ingkar peraturan ditetapkan,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE