fbpx

Permohonan penceramah bebas rujuk Akta Hasutan ke Mahkamah Persekutuan ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Ji ketika hadir di Mahkamah Rayuan hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin untuk merujuk isu perlembagaan melibatkan Akta Hasutan ke Mahkamah Persekutuan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera selepas membenarkan bantahan awal (preliminary objection) pihak pendakwaan selaku responden terhadap permohonan itu.

Dalam penghakimannya, hakim Vazeer Alam berkata Mahkamah Rayuan ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk merujuk persoalan undang-undang isu tersebut ke Mahkamah Persekutuan.

“Apa-apa persoalan berhubung question of law (persoalan undang-undang) boleh diutarakan dalam perbicaraan rayuan bila dipanggil kelak. Jadi permohonan (Wan Ji) ditolak,” katanya.

Dua lagi panel tiga hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Terdahulu, semasa prosiding peguam Muhammad Faiz Fadzil yang mewakili Wan Ji selaku pemohon supaya panel-panel itu membenarkan permohonannya untuk merujuk persoalan undang-undang berkaitan pertuduhan, ke Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, permohonan itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya How May Ling atas alasan Mahkamah Rayuan hanya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan, bukan rujukan.

“Persoalan undang-undang juga tidak dibangkitkan di peringkat Mahkamah Tinggi mahupun permohonan untuk merujuknya ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 September ini bagi pendengaran rayuan Wan Ji.

Sebelum ini, Wan Ji, 41, merayu terhadap hukuman penjara setahun yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Julai 2019.

Hukuman penjara setahun itu selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menambah hukuman penjara yang pada asalnya sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 9 April 2018.

Bagaimanapun, mahkamah itu membenarkan permohonan Wan Ji untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara setahun itu sehingga rayuannya di Mahkamah Rayuan selesai.

Wan Ji didapati bersalah atas dakwaan menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi pada 2012. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI