MUAR – Ibarat haruan makan anaknya, seorang bapa dijatuhi hukuman penjara 702 tahun dan 234 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anaknya sejak enam tahun lalu.
Hampir sejam masa diambil jurubahasa untuk membaca kesemua pertuduhan serta fakta kes dengan tertuduh yang dilihat hanya mampu tunduk sambil menggeleng kepala di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
“Saya terima hukuman ini atas perbuatan dilakukan,” kata tertuduh yang berusia 53 tahun sebelum dijatuhi hukuman.
Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan semua hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh ditahan 10 Julai lalu, manakala sebatan secara berasingan.
Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 42 tahun namun hukuman sebatan kekal 234 kali. Namun, Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah hanya membenarkan maksimum hukuman sebatan adalah 24 kali.
Tertuduh yang juga pekerja pembersihan didakwa melakukan perbuatan jijik terhadap dua anaknya yang kini masing-masing berusia 12 dan 15 tahun dengan seorang daripadanya hamil lima minggu.
Tertuduh yang berdepan 30 pertuduhan dengan 19 daripadanya membabitkan kejadian rogol manakala 11 lagi kes cabul kehormatan dua anaknya, terlebih dahulu mengaku bersalah selepas setiap pertuduhan dibacakan.
Abu Bakar dalam prosiding berkata, tidak ada faktor yang boleh dipertimbangkan untuk hukuman terhadap tertuduh kerana mangsa adalah anak kandungnya selain seorang daripadanya sudah hamil.
“Mangsa ketika itu adalah kanak-kanak dengan kesalahan dilakukan kamu sangat berat. Justeru, saya berharap dengan hukuman ini, kamu bertaubat dan belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan.
“Mengambil kira pengakuan bersalah kamu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan merogol, 10 tahun penjara serta dua sebatan bagi kesalahan amang seksual fizikal serta tambahan hukuman iaitu dua tahun penjara dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan,” katanya.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu sejak 2017 ketika salah seorang mangsa berusia 10 tahun dengan kejadian terakhir berlaku pada 4 Julai lalu membabitkan dua lokasi berasingan di Jeram dan Bakri, di sini.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan.
Bagi Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Mengikut fakta kes, pegawai perubatan dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar membuat laporan polis selepas mendapati salah seorang mangsa hamil ketika mendapat rawatan akibat sakit dada.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-KOSMO! ONLINE